Ke hadapan anak yang amat ayah sayangi,
Semalam ayah rasa kenyang sangat, jiran sebelah rumah kita bagi ayam masak madu. Semalam hari lahir anak ayah, kan? Ayah sentiasa ingat. Ayah sentiasa mendoakan anak ayah. Dari sejak ayah azankan dulu, ayah tak pernah lepas untuk berdoa.
Masa anak ayah mula panggil "Ayah" dulu, ayah rasa sangat bahagia. Ayah usap-usap dan peluk erat anak ayah. Bila umur anak ayah dah genap setahun, girang hati ayah sebab anak ayah dah boleh melangkah sendiri ke tempat ayah. Sungguh bahagianya kita.
Ayah ingat lagi masa umur anak ayah genap 5 tahun dulu. Ayah belikan kereta mainan, anak ayah suka sangat sampai tak mahu lepaskan bagi pinjam kawan-kawan lain. "Vroom, vroom", seminggu ayah dengar bunyi kereta mainan tu. Anak ayah gembira sangat waktu tu, kan?
Waktu anak ayah mula bersekolah Tahun 1 dulu, ayah memang jadi kelam kabut. Ayah dah senaraikan barang nak beli seminggu sebelum tu, baju sekolah, seluar, kasut, stoking, beg, buku, tali pinggang, pensil, pemadam, dan macam-macam lagi. Ayah pun dah tak ingat. Yang ayah ingat, ayah tak tidur malam sebelum hari sekolah tu demi menyediakan semua kelengkapan sekolah dan bekalan anak ayah.
Setiap hari ayah hantar anak ayah pergi balik sekolah. Ayah terhibur setiap kali anak ayah ceritakan kisah-kisah di sekolah. Ayah sangat berbangga anak ayah belajar membaca dan mengira dengan cepat. Anak ayah memang rajin. Bagus sungguh anak ayah.
Ingat lagi masa anak ayah jatuh panjat pokok mangga belakang rumah kita? Ayah sangat risau tengok kaki anak ayah cedera. Ayah sanggup tak pergi berkebun seminggu demi jaga anak ayah. Alhamdulillah, akhirnya anak ayah sembuh. Lepas tu, anak ayah takut sangat dengan parut luka tu, tapi ayah sentiasa ingatkan, "Parut tu adalah bukti yang anak ayah ni kuat."
Bila anak ayah berjaya sambung ke universiti, ayah rasa macam ayahlah orang yang paling bahagia. Ayah peluk anak ayah erat-erat waktu hantar ke universiti dulu, ayah sebak sebab buat pertama kali ayah akan berjauhan dengan anak kesayangan ayah. Ayah minta maaf sebab masa tu tak dapat nak tahan air mata ayah. Ayah tak pernah lekang mendoakan agar anak ayah lulus cemerlang di unversiti, dan syukur doa ayah termakbul. Ayah sememangnya begitu gembira dengan pencapaian anak ayah.
Tapi apakan daya kegembiraan itu terhenti di tengah-tengah. Sekarang, anak ayah dah berada jauh. Jauh meninggalkan ayah. "Kenapa meninggalkan ayah setelah ayah curahkan segala-galanya?" Ayah sedar yang pertanyaan itu tak layak untuk ayah persoalkan. Tidak layak ayah sebagai hamba mempersoalkan takdir-Nya.
Namun, ayah tak pernah lupakan anak ayah walau sesaat. Kadang-kadang ayah belek gambar-gambar anak ayah dari kecil dahulu hingga ke besar. Ayah rasa riang tengok gambar-gambar anak ayah tapi entah kenapa titisan air mata sukar untuk ayah bendung.
Ayah tahu ayah perlu teruskan hidup tanpa anak ayah di sisi sehari-hari. Dugaan yang Allah berikan ini memang sangat besar buat ayah tapi sebagai hambaNya, ayah redha segalanya. Kehilangan anak ayah yang menjadi teman selama ini harus ayah hadapi seteguhnya. Semoga roh anak ayah sentiasa tenang di sana, dan semoga doa ayah sentiasa mengiringi anak yang amat ayah kasihi.